29 Disember 2009

Kisah Kejayaan: Henry Ford



Salam.. untuk ketika ini saya akan kongsikan beberapa motivasi kejayaan yang diperolehi dari bacaan saya. untuk kali ini bersama dengan Henry Ford

beliau tiada mempunyai pendidikan atau latihan formal dalam bidang mekanik. dia belajar sendiri. dia tahu apa dia mahu dan mempunyai hasrat yang membara untuk mencapainya. bila dia mencipata kereta pertamanya, saudara maranya dan jirannya mentertawakannya dan menggelarkannya 'pencipta gila'.

Tapi kemudian ciptaan Ford telah mengubah dunia. dengan adanya kereta, maka diciptalah jalanraya, stesyen minyak, francais makanan segera dan banyak lagi perniagaan.

jadi.. apa yang ada difikirkan anda sekarang..?


Akhiey

19 Disember 2009

Tamrin Dakwah Generasi IPOD



“Mengapa usaha memahamkan generasi muda hari ini tentang dakwah mesti berbeza dengan usaha kepada generasi 10 atau 20 tahun yang lalu?” salah seorang peserta bertanya kepada saya.

Tajuknya adalah berkaitan dengan Penjenamaan Semula Dakwah (Rebranding Dakwah).

Soalan itu tepu dengan isu.

Kepantasan teknologi maklumat, sistem pengangkutan dan serba serbinya, menjadikan perbezaan umur 10 tahun itu cukup besar dan membentuk jurang generasi yang signifikan.

Saya menjawab soalan yang ditanya itu dengan cerita.


15 TAHUN YANG LALU

“Assalamualaikum” saya memberi salam.

“Waalaikum salang. Nok bercakap dengang siapa?” jawab seorang perempuan usia pertengahan dengan loghat Terengganu yang pekat.

“Dengan Shamsuding, mokcik. Anok Pok Amang!” saya membalas.

“Pukul berapa mu nok cakap?” tanya beliau lagi.

“Pukul 4, buleh dok mokcik?” saya cuba mencadangkan masa.

“Insya Allah. Mu telepong balik deh pukul empak!” jawab makcik berkenaan.

“Alhamdulillah. Terima kasih mokcik. Assalamualaikum” saya lega.

Mungkin dialog di atas menimbulkan kehairanan jika dibaca pada tahun 2009. Tetapi itu adalah perkara biasa yang pernah saya alami 15 tahun lalu semasa mahu bercakap dengan seorang rakan yang tinggal di Marang. Hanya ada satu telefon awam sahaja di kampung berkenaan. Makcik yang rumahnya terletak di sebelah telefon ini, menjadi kenalan saya secara tidak langsung semata-mata kerana beliau menjadi orang tengah untuk saya bercakap dengan Syamsuddin.

SALING MEMERLUKAN

Kebanyakan aktiviti, memerlukan kita untuk saling perlu memerlukan, bertolong-tolongan serta berinteraksi antara satu sama lain.

Tetapi suasana itu bukan lagi suasana yang mendominasi kehidupan masyarakat kita di tahun 2009. Khususnya di kalangan remaja.

Jika dahulu, hanya ada satu radio kotak kayu di kampung, justeru untuk mendengar radio, semua orang harus bertemu, dan berkumpul. Interaksi berlaku.

Kini suasana itu digantikan dengan Ipod atau Walkman yang menyumbatkan telinga setiap pemilik untuk berada di dunianya sendiri, terpisah daripada segala yang berada di sekeliling. Ia membunuh interaksi.

Jika dahulu, kebanyakan permainan yang menghibur petang kanak-kanak adalah permainan yang memerlukan mereka untuk bermain bersama-sama. Galah panjang, konda kondi dan banyak lagi. Ia merangsang interaksi.

Tetapi zaman berlalu dan permainan itu digantikan dengan Playstation.

Jika di suatu ketika, Playstation II masih dimainkan sekurang-kurangnya dengan seorang regu, tetapi kini dengan kemunculan PSP, Playstation juga menjadi permainan peribadi yang mengheret pemiliknya masuk ke satu dunia yang terpisah daripada persekitaran. Ia membunuh interaksi.

Interaksi adalah proses yang mengembangkan potensi pemikiran, emosi, fizikal dan spiritual seorang manusia. Kerana itu, bayi amat memerlukan kepada interaksi bersama ibu bapa dan manusia yang ada di sekitarnya. Seorang bayi yang dibesarkan tanpa interaksi yang memenuhi keperluan naluri ini, membesar dengan kecacatan jati diri yang serius.

Malah ketiadaan interaksi akan menghilangkan cermin bagi seseorang untuk meneroka potensi dirinya. Sama ada dirinya sentiasa ‘perasan bagus’ atau tenggelam dalam kelemahan kerana gagal mengeluarkan potensi diri yang sebenar.

“Souls are like athletes who need opponents worthy of them if they are to be tried and extended and pushed to the full use of their powers” – Thomas Merton

Interaksi inilah yang dibunuh oleh cara hidup semasa.

Justeru, Islam mengangkat interaksi dan pergaulan yang menjadi keperluan fisiologi, emosi, mental dan spiritual ini sebagai tuntutan agama. Interaksi dinobatkan sebagai amal yang afdhal bagi setiap Mukmin.



“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”

IMPLIKASINYA

Implikasi kemunduran interaksi dan pergaulan amat melata.

Ia membentuk sikap tidak peduli (Aku Tidak Pedulisma?) dan amat mementingkan diri sendiri (self centered).

Bermula daripada terhakisnya hubungan sesama ahli keluarga, merosotnya kerukunan tetangga, hinggalah menjurus kepada sulitnya seruan dakwah dijadikan agenda kehidupan.

“Usaha untuk menjernihkan fikrah tentang dakwah, bukan lagi soal memberikan kefahaman kepada rakan-rakan kamu tentang dakwah, malah ia memerlukan satu usaha untuk mengubah cara hidup (lifestyle) amilin dakwah GEN-Y ini. Itulah cabaran besarnya!” saya menyimpulkan penjelasan.

Besar isunya.

Tamrin fikrah GENERASI IPOD bukan sekadar menghuraikan maksud dalil-dalil yang bercakap tentang dakwah. Tetapi merancang satu latihan amali yang boleh meyakinkan generasi muda ini untuk keluar daripada kepompong zon selesa mereka, ‘menyusahkan diri’ dengan mengambil peduli terhadap orang lain… iaitu sesuatu yang sangat bertentangan dengan apa yang telah didefinisikan sebagai kehidupan oleh GEN-Y ini.

“Macam mana caranya?” tanya peserta kursus amilin dakwah tersebut kepada saya.

“Saya tiada jawapan mudah. Tetapi apa yang saya lakukan sekarang kepada kalian, itulah sebahagian ikhtiar yang boleh dipertimbangkan,” saya menjawab.

Dakwah bukan semata-mata kewajipan. Ia adalah wasilah memberi yang menghadiahkan makna hidup. Kepuasan.

Dakwah bukan semata-mata akibat tekanan persekitaran dan segala faktor luaran. Tetapi ia adalah dakwah yang inside-out.

Dakwah bukan stress, kerut dahi, bermuram durja, tetapi ia boleh ceria, mendamaikan juga menenangkan.

Dakwah itu bisa menyeronokkan. Lebih seronok daripada mendengar IPOD dan bermain PSP.

Anda mampu menikmatinya.

Mulakan dengan mekanisma Solat Berjemaah!


Akhiey

p/s: dipetik dari http://saifulislam.com